Isu perlesenan kekang industri walit.


DI sebalik kerancakan industri sarang burung walit yang kini mencecah RM1 bilion setahun, beberapa isu berbangkit dilihat akan mempengaruhi pembangunan industri ini di Malaysia.

Antaranya ialah masalah pelesenan premis burung walit yang dibina di kawasan bandar yang didakwa menggugat populasi manusia di sekitarnya terutama risiko penyakit.

Masalah pengurusan dan pemantauan ini juga dikatakan menyentuh sensitiviti penduduk terbabit selain menimbulkan dilema dalam kalangan pedagang sarang burung itu.

Masalah ini amat ketara di Sarawak di mana premis burung dilarang dibina di kawasan bandar namun pada masa yang sama negeri itu mempunyai lebih 1,500 premis burung ‘haram’, yang perlu ditangani secara bijak oleh pihak berwajib.

Namun sejauh manakah kebenaran andaian itu dan apakah jalan penyelesaian terbaik supaya hasrat kerajaan untuk memperkasa industri ini tidak berkubur di tengah jalan?

Isu pelesenan

Apakah ia relevan untuk dilihat dalam konteks kenegerian atau isu itu ialah masalah yang harus ditangani secara holistik melalui kerjasama dan persefahaman yang seiring antara agensi berkaitan dengan kerajaan negeri terbabit?

Isu pelesenan rumah burung bermula apabila pihak berwajib melakukan operasi bagi membersihkan premis burung walit di Mukah, Sarawak, Oktober tahun lepas, yang dilihat membuka mata umum kepada kewujudan industri sarang burung walit.

Turut dipersoal, cara operasi itu dilakukan di mana anak burung walit, iaitu spesies yang dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar 1972, dibiarkan mati dari sarang yang dirampas seperti disiarkan di youtube.com.

Rentetan daripada operasi itu, bermula dengan Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit di Mukah diikuti Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit di Sibu dan Sarikei, meminta Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud campurtangan bagi menyelesaikan isu itu.

Pemilik premis burung walit dikatakan mahu terus beroperasi di premis sedia ada yang kebanyakannya ialah lot rumah kedai yang dulunya terbengkalai tapi kini membawa hasil yang lumayan.

Mahu dibangunkan secara terkawal

Sarang burung walit di negara ini dikatakan berkualiti tinggi dan mendapat sambutan menggalakkan di pasaran China dan Arab selain harganya dilaporkan mencecah RM10,000 sekilogram.

Namun di sebalik potensi itu, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak tidak membenarkan spesies itu diternak di kawasan bandar, kecuali habitat asalnya seperti gua. Dan ini menyukarkan lagi keadaan bagi industri ini.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak yang juga Kontroler Hidupan Liar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh menegaskan bahawa kerajaan negeri mahu industri sarang burung walit ini dibangunkan secara terkawal mengikut undang-undang yang ada.

Len Talif berkata, kira-kira 100 lesen diluluskan daripada antara 600 hingga 700 permohonan diterima sejak Mei lepas.

“Kebanyakan lesen diluluskan itu melibatkan pengusaha lama yang memenuhi syarat.

Perkembangan positif

“Selebihnya ditolak kerana premis burung di bandar,” kata Len Talif kepada Bernama ketika dihubungi di pejabatnya di Kuching baru-baru ini.

Beliau berkata penguatkuasaan akan tetap diteruskan sehinggalah isu itu selesai sepenuhnya.

Sumber industri melihat pemberian lesen itu sebagai perkembangan yang positif jika dibandingkan dengan keadaan sebelum Mei lalu dengan hanya dua daripada lebih 1,500 premis burung walit di negeri itu mempunyai lesen.

Pemberian lesen oleh Jabatan Hutan dan Kontroler Hidupan Liar Sarawak, melibatkan pedagang sarang burung dari Mukah, Bintulu, Kuching, Kota Samarahan dan Sarikei, yang meliputi kawasan pertanian dikenal pasti.

Ia juga perlu mendapat kelulusan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Survei, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan pihak berkuasa tempatan.

Satu berita baik ialah kKerajaan negeri juga akan membina tiga eko-park burung walit di Mukah,Sarikei dan Bintulu untuk dijual dan disewakan kepada pihak berminat.

Kelonggaran premis di kawasan bandar

Namun kesangsian terhadap jaminan burung akan singgah dan bersarang di eko-park yang dibina itu, selain faktor birokrasi, menyebabkan sebilangan besar pemilik rumah burung mahu kerajaan negeri memberi kelonggaran beroperasi di premis sedia ada.

Mereka juga berharap kerajaan negeri mengguna pakai garis panduan penternakan seperti Amalan Baik Penternakan Haiwan (GAHP) Burung Walit, yang membolehkan pedagang sarang burung tersebut di Semenanjung membina premis burung di kawasan bandar.

“Kami akan ikut garis panduan ini,” kata pengerusi protem Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit Sarikei Wong Hua Ting, menimbulkan situasi bertentangan di antara pihak kerajaan negeri, yang bertegas premis burung walit hanya boleh dibina di tanah pertanian atau di eko-park disediakan.

Keadaan ini tentunya akan menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat terutama hujah mengenai ancaman penyakit membabitkan spesies burung itu. Sehingga hari ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan daripada lebih 5,000 ujian dilakukan, mendapati spesies burung walit bebas daripada selesema burung dan penyakit sampar ayam.

Premis didaftarkan dengan JPV

JPV ialah agensi peneraju industri burung walit negara sejak status itu diputuskan Kabinet April lepas.
JPV sedang menyiapkan garis panduan penternakan burung walit yang akan dibawa kepada perhatian Jawatankuasa Pemandu Mengenai Industri Walit Negara, 14 Disember ini.

Garis panduan yang dikenali sebagai “1GP” ini mewajibkan setiap premis burung walit didaftarkan dengan JPV.

Namun sebelum garis panduan itu diterima pakai PBT di negara ini, ia akan dibawa ke perhatian Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka Mac depan.

“Garis panduan ini akan menjadi standard untuk semua PBT. Ia akan membantu para pedagang dan pemilik rumah burung untuk menceburi bidang ini dengan lebih teratur,” kata Pengerusi Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung walit, Datuk Beh Heng Seong.

Tiada lagi rampasan sarang

Mengenai garis panduan itu, Len Talif berkata kerajaan negeri Sarawak akan menerima garis panduan itu, selagi ia tidak bercanggah dengan ordinan negeri yang akan terus dikuatkuasakan.

Difahamkan juga operasi penguatkuasaan di Sarawak tidak lagi merampas sarang burung, bagi mengelakkan populasi burung yang ada bersarang di bangunan berdekatan, kecuali mengenakan kompaun dan merampas peralatan berkaitan.

Perkembangan ini dilihat indikasi positif dalam cara penguatkuasaan dilakukan namun ia bukan lesen untuk semua pihak terus membina premis burung tanpa kelulusan sah.

Apa yang pasti, hasrat kerajaan untuk mempunyai 100,000 ladang burung walit dengan pengeluaran 500 tan sarang burung setahun bernilai RM5 bilion menjelang 2020 tidak akan menjadi kenyataan selagi isu perlesenan tidak diselesaikan dengan segera.

Kerjasama semua pihak termasuk agensi berkaitan, kerajaan negeri dan pedagang sarang burung juga perlu untuk menjayakannya, sekiranya negara mahu menjadi pengeluar utama sarang burung walit setanding dengan Indonesia dan Thailand, negara pengeluar utama. – BERNAMA

Posted on 29 March, 2010, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: