Sebuah artikel dari Berita Harian berkaitan gaharu yang patut anda baca.


KERATAN AKHBAR BERITA HARIAN 12.09.2010
NadiBiz: Konsesi Utama pelopori industri produk kayu gaharu
Oleh Shahrizan Salian shahrizan@bharian.com.my 2010/09/12

Syarikat diterajui Norazlan miliki kilang di Padang, Indonesia, dapat geran RM500,000 buat penyelidikan KOMODITI ini terkenal di seluruh dunia dengan pelbagai panggilan, Chen Xiang bagi masyarakat Cina, Jin-Ko (Jepun) dan Oud atau Oode di kalangan bangsa Arab.

Kayu gaharu – termasuk di dalam genus Aquilaria adalah antara khazanah tumbuh-tumbuhan di Malaysia yang mempunyai permintaan tinggi dari luar negara. Secara keseluruhan terdapat lapan jenis pokok gaharu di dunia tetapi di Malaysia hanya ada empat jenis iaitu Karas, Candan Gajah, Candan Gunung dan Cendana.

Sekilogram kayu gaharu jenis karas dianggarkan bernilai di antara RM5,000 hingga RM60,000; Candan Gajah (RM180,000 hingga RM200,000) dan Candan Gunung (RM1 juta) manakala harga seliter minyaknya pula dianggarkan bernilai 10 kali ganda dari kayunya. Di seluruh dunia, pokok gaharu yang dikenali sebagai Agarwood menjadi pilihan ramai berikutan kebolehannya mengeluarkan aroma menyenangkan dan menjadi kegemaran masyarakat di rantau Asia Barat.

Keistimewaan gaharu turut menyebabkan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berusaha menjadikan negara ini sebagai pusat pengeluar gaharu terbesar di rantau Asia dalam tempoh enam tahun akan datang selepas mendapati hasil daripada penanaman pokok karas amat lumayan, sehingga mencecah RM800,000 untuk kawasan 0.4 hektar.

Buat masa ini, Malaysia adalah negara ketiga terbesar dunia sebagai pengeluar gaharu selepas India dan Indonesia, tetapi FRIM menjangka negara ini mampu menjadi pusat pengeluar gaharu terbesar di rantau Asia dalam tempoh yang disasarkan itu.

Permintaan dunia terhadap produk gaharu yang berguna dalam penghasilan kosmetik dan perubatan pula kini dianggarkan 4.5 juta kilogram dengan nilai RM18.4 bilion setahun. Walaupun produk daripada kayu gaharu mempunyai permintaan tinggi dari seluruh dunia, tidak banyak syarikat tempatan yang menyedari potensi tanaman itu untuk dikomersilkan secara menyeluruh. Jika ada sekali pun, kebanyakannya tidak mampu bertahan lama kerana penghasilan rangkaian produk kayu gaharu bukan saja membabitkan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi, malah ia membabitkan konsep metafizik.

Antara syarikat tempatan yang berjaya mengkomersialkan sepenuhnya tanaman itu ialah Konsesi Utama (M) Sdn Bhd yang ditubuhkan sejak 2000 untuk mempelopori usaha menjadikan kayu gaharu sebagai satu perniagaan berdaya maju. Syarikat yang mempunyai kilang pengeluarannya sendiri di Bandar Teknologi Kajang itu ditubuhkan oleh usahawan gigih, Norazlan Lumi yang telah menjalankan kajian mengenai manfaat kayu gaharu selama lebih 10 tahun. Beliau adalah pengasas dan Pengarah Urusan Konsesi utama iaitu satu-satunya syarikat Malaysia yang menghasilkan rangkaian produk daripada keseluruhan kayu gaharu bermula daripada akar hingga ke batangnya.

Norazlan, 50, sebelum itu adalah kontraktor kelas F yang mengambil keputusan beralih ke bidang keusahawanan berikutan kekangan jumlah projek yang boleh dikendalikannya selain minatnya ke arah produk kayu gaharu semakin berputik. Pada awalnya, saya berhasrat menceburi bidang pertanian tetapi menyedari persaingan sengit dalam industri itu menyebabkan saya menyelidik tanaman lain yang belum dikomersilkan sepenuhnya. Sekitar tahun 2000, saya mula didedahkan dengan kayu gaharu yang diperoleh daripada orang Asli dari hutan seluruh negara.

Penjualannya adalah secara kecil-kecilan; katanya ketika ditemui di kilangnya baru-baru ini. Norazlan berkata, usaha itu berterusan untuk beberapa tahun dan pada masa sama beliau gigih menjalankan kajian bagi mendapatkan ekstrak kayu gaharu menerusi usahanya sendiri tanpa mendapatkan sebarang geran bantuan penyelidikan daripada mana-mana agensi.

Bagaimanapun, katanya selain mengadunkan bidang sains dan teknologi, pengusaha kayu gaharu tidak boleh sama sekali mengenepikan peranan bidang metafizik dalam mengusahakan tanaman itu. Kita sendiri maklum bahawa tanaman itu diambil daripada khazanah alam yang berharga, justeru langkah memprosesnya perlu dijalankan secara tertib antaranya jika boleh sentiasa berwuduk dan menjaga kebersihan sekeliling ketika memproses. Jika amalan itu dikekalkan, Insya-Allah perniagaan kayu gaharu boleh diusahakan sehingga berjaya, katanya.

Pada 2005, syarikat itu melangkah setapak apabila mula mengendalikan kilang untuk menghasilkan ekstrak daripada kayu gaharu dengan menggunakan empat dapur pemproses membabitkan pelaburan kira-kira RM25,000. Kini, syarikat mempunyai 36 dapur pemproses untuk mendapatkan ekstrak daripada kayu gaharu, katanya. Antara produk yang dihasilkan oleh syarikat itu termasuk minyak gaharu asli, minyak wangi gaharu asli, teh gaharu, setanggi gaharu, tikar dan tasbih gaharu, krim kulit gaharu dan produk hiliran minyak lintah gaharu.

Buat masa ini, Norazlan berkata rangkaian produknya adalah untuk pasaran luar negara dengan rantau Asia Barat menjadi penyumbang utama hasil jualan syarikat iaitu kira-kira 90 peratus. Konsesi Utama terus melangkah maju apabila berjaya memperoleh geran bernilai RM500,000 daripada Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bagi membolehkannya menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan produk penjagaan kulit daripada kayu gaharu.

Kajian itu dilaksanakan menerusi kerjasama syarikat dengan Loji Pandu Kejuruteraan Kimia, sebuah anak syarikat Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pada masa sama, Norazlan berkata Konsesi Utama terus melangkah maju apabila membuka kilang sulungnya di luar negara iaitu di Padang, Indonesia pada akhir tahun lalu dengan sasaran menembusi pasaran serantau. Katanya, syarikat turut menjalin kerjasama penyelidikan dengan institusi pengajian tinggi terkemuka republik itu, Universiti Bogor untuk mengkaji khasiat tanaman berkenaan.

Paling membanggakan, katanya Konsesi Utama turut dilantik oleh kerajaan Kemboja sebagai penasihat dalam industri perusahaan dan tanaman kayu gaharu selepas berjaya membuktikan peranannya dalam perkembangan industri itu di Malaysia. Pada masa ini, Norazlan turut dibantu oleh anak sulungnya, Norsharizam, 28, kini ketua eksekutif syarikat yang berperanan mengukuhkan pasaran rangkaian produk Konsesi Utama. Norsharizam berkata, syarikat berhasrat mengukuhkan rangkaian pemasarannya di dalam negara memandangkan terdapat permintaan luas terhadap produk itu yang kurang disedari masyarakat. Permintaan terhadap kayu gaharu tidak akan putus selagi kegunaannya dimanfaatkan sepenuhnya, katanya.

Posted on 25 January, 2011, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: