Rakyat Terengganu diajak sertai konsortium Industri Sarang Burung Negara

Satu konsortium terdiri daripada ahli perniagaan dalam industri sarang burung boleh dimakan tempatan memulakan usaha untuk membangunkan lagi industri dan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran dunia terutama China.

Timbalan presiden sementara Persatuan Pembekal Sarang Burung Sarawak (SBNSA) yang baru ditubuhkan, Jesse Tang Yu Hang, berkata konsortium itu yang dikenali sebagai Chun Yan Fang akan melancarkan kempen keanggotaan di seluruh negara bulan ini.

Tang berkata anggotanya sekarang adalah dari Sarawak serta dari Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang dan Pulau Pinang dan berharap mendapat anggota dari Perak and Kedah.

Beliau berkata pelaburan berjumlah RM2.5 bilion telah disuntik ke dalam konsortium itu untuk menjalankan kerja-kerja asas termasuk menubuhkan ibu pejabat dan promosi di China.

Bukan mudah bagi ahli perniagaan individu Malaysia untuk menjalankan promosi dan jualan sarang burung di China kerana persaingan sangat sengit di sana, kata Tang.

“Konsortium kami akan menumpu membangunkan kualiti bertaraf dunia yang datang dari Malaysia dan bukan bersaing dari segi harga atau kuantiti.
“Kita perlu mengumpulkan sumber bersama-sama. Kita tidak boleh bersaing sesama sendiri atau dengan orang lain kerana kita hanya mengeluarkan 10 peratus daripada pengeluaran pasaran dunia manakala Indonesia merupakan pengeluar utama dunia,” katanya pada sidang akhbar kelmarin. Satu kilogram sarang burung diproses ketika ini bernilai sehingga RM10,000 dalam pasaran.

Tang berkata dengan menyertai konsortium itu, anggota akan dapat mengetahui budaya membiak terbaharu, teknik pemprosesan selepas tuaian bagi nilai yang lebih baik dan mempunyai akses kepada lebih banyak pasaran selain hak dan kepentingan mereka dilindungi.

Beliau berkata dalam senario semasa di mana Sarawak dilarang membuka rumah sarang burung di bandar-bandar atas alasan kesihatan, mereka yang berminat boleh melabur di Semenanjung Malaysia di mana undang-undang berbeza.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sangat menyokong industri ini kerana beliau menyedari potensi yang sangat besar sebagai satu lagi penyumbang utama pendapatan kepada negara, kata Tang.

Mengenai perkembangan terkini industri, beliau berkata: “Parlimen kita baru-baru ini menyokong industri ini untuk berada di bawah skop Kementerian Pertanian. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Persekutuan akan bertindak sebagai agensi utama bagi membangunkan pelan tindakan peraturan dan garis panduan dan penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan lagi industri tersebut.

“Kami menunggu dasar ‘1 Malaysia 1 Industri Sarang Burung’ dibentangkan tidak lama lagi,” katanya.

Pelaburan dalam industri tempatan kini bernilai lebih RM10 bilion, terutamanya dalam pembangunan prasarana manakala nilai eksport setahun sekitar RM1 bilion, kata Tang.
“Kami menjangka angka itu meningkat terutamanya dari China di mana penggunaan sarang burung sudah menjadi satu budaya dan kini menyumbang 80 peratus daripada permintaan dunia.
“Dengan kumpulan penduduk mewah semakin meningkat, kami menjangkakan permintaan turut meningkat,” katanya.

Mengenai rancangan konsortium itu, beliau berkata ia akan menubuhkan lebih banyak pusat jualan dan francais di wilayah dan bandar-bandar di China. “Kami merancang 40 di mana 10 telahpun disahkan. Selain perniagaan sarang burung, kami juga berharap dapat memperkenalkan Malaysia kepada lebih ramai pelancong China,” katanya. Konsortium itu juga merancang meneroka pasaran Taiwan, Hong Kong dan negara-negara Asia lain.

Sementara itu, Tang berkata Persatuan Pembekal Sarang Burung Sarawak yang mempunyai kira-kira 1,000 anggota akan menjadi persatuan ketiga seumpama itu yang diluluskan di negeri ini.

Ia dijangka dilancarkan secara rasmi pada 15 November ini di mana konsortium juga akan diperkenalkan bagi mendapatkan lebih ramai anggota dari Sarikei, pengeluar sarang burung utama negeri, serta dari Kuching, Miri dan Bintulu.

Sarawak ketika ini mengeluarkan kira-kira tiga tan sarang burung setiap bulan tetapi mempunyai kapasiti menjana nilai kira-kira RM1 bilion dalam masa terdekat ini, kata Tang. Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai persatuan dan konsortium itu boleh menghubungi Dr.Koh di talian 012-8861516 dan Andy Tiang di talian 012-8041610

Posted on 7 November, 2009, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: